Monday, April 27, 2009

Fadilat doa dan selawat ke atas Nabi s.a.w.

Mauizah: Fadilat doa dan selawat ke atas Nabi s.a.w.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mon | Apr 27, 09 | 7:01:43 pm MYT

Adab berdoa yang ketiga; hendaklah menghadap kiblat, kerana doa adalah satu di antara ibadah kepada Allah SWT.

Iklan

Berdoa pula dikehendaki angkat kedua belah tangan. Cara angkat tangan semasa berdoa ada pelbagai kaifiyat yang dibahaskan oleh para ulama.

Mengikut Imam Ghazali r.a. ialah dengan mengangkat agak tinggi hingga kelihatan putih celah pangkal lengan.

Selesai berdoa sayogia raup kedua tapak tangan ke muka, kerana menurut atsar Saiyidina Umar r.a. katanya: "Nabi s.a.w. apabila hulur tangan ke arah langit kerana berdoa, tidak diturunkan tangannya kecuali setelah diraupkan ke mukanya."

Abdullah ibnu Abbas r. anhuma pula berkata: "Nabi s.a.w. apabila berdoa beliau temukan kedua-dua tangannya, dan baginda jadikan kedua perut tangannya menghadap ke mukanya."

Demikianlah kedudukan tangan ketika berdoa, ketika angkat kedua tapak tangan jangan memandang ke langit. Jika berbuat demikian seolah Tuhan berada di langit, sedangkan Allah SWT tidak bertempat.

Adab berdoa yang keempat; ialah dengan suara yang sederhana antara jahar (nyaring) dan perlahan (sir).

Yang mustahak hendaklah kedengaran butir huruf, kerana segala perekataan itu hasil daripada gerakan bibir mulut dan lidah serta suara.

Siti 'Aisyah ketika mentafsirkan ayat yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menyaringkan sura dalam solatmu dan janganlah merendahkannya, dan carilah jalan tengah di antara keduanya." (Surah Al-Israa ayat 110)

Yang dimaksudkan dengan solatmu ialah doa, kerana jika dimaksudkan itu solat, maka ia bercanggah dengan kedudukan solat malam Nabi s.a.w. yang dibaca 'jahar' (nyaring), dan solat siang dengan 'sir' (suara perlahan).

Satu hujah lagi ialah dengan pujian Allah SWT terhadap Nabi Zakariya a.s. dalam al-Quran yang bermaksud: "(Yang dibacakan ini adalah) penjelasan tentang rahmat Tuhan kamu kepada hamba-Nya Zakariya, iaitu ketika ia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut." (Surah Maryam ayat 2 dan 3)

Perkara yang dipuji Allah SWT ialah cara Nabi Zakariya berdoa dengan suara lembut, dia tidak menyaringkan suara ketika berdoa kerana yakin bahawa Tuhan Yang Maha Mendengar terlalu dekat dengannya.

Adab yang kelima janganlah berdoa dengan kalimah yang bersajak, sebaiknya berdoa yang berpunca daripada Nabi s.a.w. yang ma'tsurah.

Tidak perlu bersusah payah mencipta doa sendiri, kerana yang hendak dipinta semuanya telah dipohonkan oleh Nabi s.a.w. Doa yang disusun oleh Nabi s.a.w. lebih teratur indah dan lebih sempurna.

Kadangkala manusia meminta sesuatu lebih daripada kadar yang sepatutnya, kerana tidak semua orang pandai meminta. Oleh itu lebih afdal jika mengambil doa dari Rasulullah s.a.w., lebih selamat dan terjamin kesesuaiannya. Demikianlah perbincangan mengenai zikir dan doa.

Kini masuk pula mengenai fadilat selawat ke atas Nabi s.a.w. Sebagaimana yang semua ketahui bahawa agama itu bergantung atas kayakinan seseorang kepada akhirat yang bernama syurga dan neraka.

Adapun kaya miskin senang derita kehidupan, tidak boleh jadi tanda ukuran bahawa Tuhan setuju atau sebaliknya.

Kadangkala orang yang dikutuk Tuhan, kehidupannya tetap senang dan mewah. Sebaliknya orang yang Tuhan sayangi pula kehidupannya menderita.

Selawat ke atas Nabi s.a.w. sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (Surah al-Ahzab ayat 56)

Ayat di atas menyatakan bahawa Allah SWT dan para malaikat-Nya berselawat (berdoa) ke atas Nabi s.a.w. Justeru orang orang beriman diseru supaya berbuat demikian juga.

Menunjukkan berselawat ke atas Nabi s.a.w. itu suatu daripada ibadat yang sangat mulia, bukan saja dianjurkan oleh Allah SWT supaya manusia beriman melakukannya.

Berselawat bukan saja dalam solat bahkan di luarnya, kerana Allah SWT dan malaikat-Nya juga telah berbuat demikian.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa di kalangan umatku yang berselawat sekali ke atasku, Allah SWT akan tulis 10 kebajikan."

Sepuluh kebajikan bererti sepuluh pahala ganjaran, meskipun pahala itu tidak kelihatan bentuk dan sifatnya, tetapi pahala amat diperlukan oleh orang yang beriman di akhirat kelak.

Sesiapa menghendaki pahala yang banyak, satu antara caranya ialah beramal tanpa modal iaitu berselawat ke atas Nabi s.a.w.

Seorang sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang bagaimana bentuk cara berselawat ke atasmu?

Sabda Nabi s.a.w. berkatalah dengan: "Allahumma solli 'ala Muhammad 'abdika wa 'ala a-lihi wa azwajihi wa zurriyatihi kama sollita 'ala Ibrahim wa a-li Ibrahim, wabarik 'ala Muhammadin wa 'ala a-lihi wa azwjihi wa zurriyatihi, kama barakta 'ala Ibrahim wa a-li Ibrahim innaka hamidun majid."

Yang bermaksud: Ya Allah Tuhanku, sejahterakanlah ke atas Nabi Muhammad dan kaum keluarganya dan para isterinya dan keturunannya, sebagaiman kesejahteraan ke atas Nabi Ibrahim dan keluarganya, sesungguhnya Engkau adalah Maha Terpuji lagi di-Muliai." -

Thursday, April 23, 2009

Fadhilat Membaca Bismillah

Fadhilat Membaca Bismillah

Membaca Bismillah setiap kali melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan sebenarnya memberi kebaikan yang sangat banyak. Allah sendiri memerintahkan para malaikat supaya mencatat pahala bagi umat manusia yang membaca Bismillah.

Seseorang yang membaca Bismillah sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, akan aman dariapda gangguan syaitan, kecurian, maut yang mendadak dan bala. Sementara pasangan yang membacanya ketika hendak berjimak, akan melahirkan anak yang soleh dan bagi ibu bapanya kebajikan sejumlah tarikan nafas anak itu.

Membaca 41 kali Bismillah ke telingan orang yang pengsan, insya Allah dia akan segera sedar. Membaca 313 kali Bismillah serta 100 kali selawat ke atas Nabi SAW pada waktu pagi hari Ahad sewaktu matahari terbit dengan menghadap kiblat, insya Allah akan mendapat rezeki yang tidak terduga.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang bebal, eloklah dibaca Bismillah sebanyak 786 kali, kemudian ditiupkan pada air lalu diberi minum anak itu selama tujuh hari pada saat matahari terbit, insya Allah lenyaplah kebebebalannya. Perkara yang sama juga dilakukan kepada adik-beradik, suami, isteri atau sesiapa yang dimaksudkan.

Sesiapa yang membaca 50 kali Bismillah di hadapan orang orang zalim, akan tunduk dan takutlah orang zalim itu. Bagi perempuan yang hamil, tulislah 61 kali kalimah Bismillah hingga akhirnya dengan huruf Arab di atas kertas putih lalu sisipkannya ke perut wanita itu, insya Allah hidup anak yang dikandung itu.

Mereka yang berniaga, bacalah 786 kali di hadapan dagangannya lalu dihembuskan selama tujuh hari. Insya Allah dengan izin Allah akan majulah perniagaannya.

Wednesday, April 22, 2009

Sejarah Solat 5 Waktu

Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

Subuh:

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

Zohor:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

Asar:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

Maghrib:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

Isyak:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun